KENAPA ANAK-ANAK KURANG BERJAYA?

Ada satu frasa yang menangkap perhatian aku tentang  bagaimana peningkatan umur membuatkan  kita semakin sedar bahawa kita tidak perlukan orang untuk memahami bagaimana kita menjalani kehidupan.

Apa yang akan dikata orang tidak lagi menjadi satu masalah yang mengganggu-gugat ketenteraman hidup. Perlahan-lahan, kita mula membebaskan diri dari terperangkap dalam dimensi ‘cakap-cakap orang’. Perkara paling penting adalah kita mula membawa diri keluar dari belenggu expectation.

Pembahagian kehidupan yang digariskan dalam Developmental Psychology, fasa akhir-akhir kehidupan adalah satu waktu di mana kata ahli psikologi, “people will have less expectation towards adult.” Lalu mereka, orang-orang dewasa mula hidup dengan kehidupan sendiri. Tidak dapat kita nafikan, lahir di dalam masyarakat yang begitu sinonim dengan expectation, bukanlah satu perkara yang mudah. Ramai yang goyah, malah sudah ada bibit-bibit rebah yang ditunjukkan oleh anak muda yang telah pun kalah dengan sebuah expectation yang ditunjukkan mereka yang lebih dewasa.

Sedari kecil, orang lain expect kita untuk berjaya memungut seberapa banyak A dalam peperiksaan. Segalanya berkisar tentang berapa banyak A yang berjaya diperoleh si anak. Kemudian, para anak perlu cemerlang di peringkat universiti dengan memperoleh CGPA yang hebat. Segalanya mula berputar sekitar pointer. Perbandingan-perbandingan dengan anak-anak jiran juga mula dibentang pada setipa sela masa yang terluang.

Kemudian, mereka perlu mendapat kerja hebat, kereta besar, dan sebagainya bagi memenuhi expectation masyarakat. Hal yang seterusnya membuatkan ramai kecundang, adalah soalan bila nak kahwin sebelum persoalan bila nak dapat anak mula keluar dari mulut orang-orang dewasa. Anak-anak muda yang progresif pula mula mendatangkan jawapan-jawapan yang tidak kurang pedas seperti kubur sudah mula memanggil atau bila malaikat Izrail nak datang menunjukkan diri. Natijahnya, kita mula bergaduh biarpun sebermulanya konflik adalah pada perkara-perkara yang tidak perlu.

Bukanlah satu benda yang mudah untuk kita elakkan. Mungkin kita boleh bermula dahulu- Expect less. Dan tidak terlalu berharap pada sebuah kemungkinan, atau pada sesuatu yang tidak pasti. Selagimana perbicaraan berkisar tentang manusia, pasti di situ sentiasa kedengaran nada-nada kecewa. Berharap hanya pada Tuhan, kerana kasihnya manusia sentiasa bertepian, dan kudrat manusia hanya sebatas takdir yang telah pun tertulis.

1 thought on “KENAPA ANAK-ANAK KURANG BERJAYA ?”

  1. Apa pendapat tuan tentang ibu bapa yg tiada masa untuk bersama-sama anaknya ketika anak-anak memerlukan mereka di waktu proses sedang membesar atas alasan sibuk bekerja ?

    Adakah ianya bagus untuk anak-anak supaya mereka lebih berdikari ?
    Atau sebaliknya ?

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *